Category: Pengalaman

Pengalaman nyawa dihujung tanduk

Pengalaman nyawa dihujung tanduk

Kali ni teman nak post teman ni berkisarkan tentang perkara paling penting kepada mana-mana makhluk Allah Taala di muka bumi ni iaitu nyawa. Semuanya ni berdasarkan pengalaman teman sendiri yang beberapa kali umpama nyawa dihujung tanduk. Dalam sejarah hidup teman sehingga kini, sudah 3 kali teman berdepan dengan situasi hidup dan mati. Tapi Allah sayangkan teman mahu teman teruskan hidup untuk berbuat kebaikan.

Ular Hitam

Teman nasihatkan kome supaya berhati-hati apabila berdepan dengan apa-apa jenis reptilia yang bernama ular.. Pengalaman ni berlaku pada tahun 1991 ketika teman berumur 9 tahun. Time tu keluarga teman akan berpindah rumah Jadi mak teman sibuk packing barang dan pindahkan barang ke ruang tamu rumah. Barang-barang tu akan di bawa dengan lori keesokan harinya ke rumah yang baru. Untuk malam tu tempat tidur teman berubah sebab katil semua dah dibuka dan disusun kat ruang tamu. Jadi teman ambik tilam dan baring kat ruang tamu dicelah-celah barang-barang rumah.

nyawa dihujung tanduk ular hitam

Masa terkebil-kebil nak tidur tu macam-macam la pulak berangannya... maklumlah budak. Duk pikir pindah rumah baru seronok sebab ada bilik sendiri. Tengah lali nak tidur tu terpandang seekor ular tedung hitam dibawah lehernya warna putih tengah panggungkan kepala betul-betul depan muke teman. Jarak mungkin lingkungan 3 jengkal begitu. Ular jenis ni kalau kat tempat teman ni dipanggil naga bore..ular ni jenis sembur. Time tu teman masih lagi terkebil-kebil dan tersedar hanya apabila ular tu bergerak-gerak.

Apa lagi teman melompat sambil menjerit ular. Terkejut satu rumah bangun. Mak teman cari ular tu tak jumpe. Kemudian mintak tolong jiran cari untuk bunuh... pun tak jumpe. Semua orang dah mula pikir yang teman ni mengigau. Teman pun hampir terpecaya yang teman ni mengigau. Tapi Allah Taala nak selamatkan nyawa kami ketika tulah ada pulak katak melompat-lompat(untuk pengetahuan kome rumah teman dulu kat tepi sungai setakat katak dalam rumah tu biase. rumah kampung..). Mase itu lah ular hitam tu tiba-tiba datang mengejar katak melompat. Barula mak teman nak percaya, akhirnya mati gak kena hentak dengan buluh. Sampai sekarang kome oi..walaupun dah 27 tahun berlalu bila ingatkan balik bulu roma teman jadi tegak

Lemas di Sungai Perak Teluk Rubiah

Kali kedua ni teman berdepan dengan situasi yang cemas bila lemas kat sungai. Tahun 1998 bulan Ramadhan masih segar kat ingatan walau dah 20 tahun berlalu. Kalau kome nak tau masa tu baru 4 bulan arwah ayah teman meninggal. Teman pergi memancing naik sampan dengan 2 orang kawan. Dari pagi sampai la ke petang. Dapat ikan duri ngan udang dengan jumlah yang memang banyak. Kalau udang dapat banyak kami jual tapi kalau sikit kami makan je. Ikan duri pulak kami jual sebab ada permintaan oleh orang cina. 

nyawa dihujung tanduk lemas di sungai

Dengan duit tu dapatla tampung perbelanjaan keluarga. Macam teman bagi tau korang dalam post-post sebelum ni, sejak kecik teman bukan jenis orang yang duduk diam kat rumah. Jarang teman kat rumah. Rutin teman kerja atau buat apa-apa je untuk cari duit. Disebabkan bulan Ramadhan punyelah panas kat sungai tu. Jadi kawan-kawan teman dayung ke tebing. Bila sampai depa pun terjun mandi. Teman tak mandi sebab teman tak pandai berenang. Tapi bila tengok depa syok mandi teman jadi teringin. Teman beranikan diri untuk terjun. Mula-mula terapung lepas tu tenggelam huhu..

Kawan yang dekat dengan teman tak perasan, sebab dia mengadap ke arah lain. Tapi kawan yang jauh sikit tu nampak sebab kedudukannya mengadap ke arah teman. Bila die tengok teman hilang dia syak yang teman ni dah lemas. Teman bersyukur sebab lemas ketika bersama dengan budak kampung yang pandai berenang. Dia terus menyelam dan dapat dia tangkap tangan teman di tarik ke atas. Kalau kome nak tau, kat atas permukaan sungai nampak tenang dan aman, tapi kat bawah punyelah kuat arusnya.

Terus kena marah dengan kawan-kawan...ayatnya "tak sedar diri dah tau tak boleh berenang jangan la terjun". Kejadian tu terus dirahsiakan sehinggalah seorang daripada kawan teman ni membocorkan rahsia. habis semua mak2 bapak sedara marah teman. Tu belum mak lagi. Akibatnya diharamkan memancing..

Lemas di Pantai Kulambu

Kali ketiga ni jugak teman lemas. Tapi kali ni bukan di sungai tetapi di pantai. Korang pernah dengar tak Pantai Kelambu. Pantai ni di Sabah. Satu Pantai yang cantik tetapi berbahaya. Kejadian ni berlaku tahun 2008 first time aku jejak kaki ke Negeri Di bawah Bayu. Time tu cuti tahun baru Cina.

nyawa dihujung tanduk lemas di laut

Inilah pantai Kulambu. Pantai yang sangat cantik. Bulatan kuning tulah tempat teman lemas

Jangan cakap teman masih tak ambil ikhtibar lemas 10 tahun sebelum tu. Malah teman masih berhati-hati dan ingat kejadian lemas masa teman sekolah menengah dulu. Kejadian kali ni diluar kawalan teman sendiri. Time tu kami berempat pergi berkelah. Kami bertiga lelaki dan sorang lagi tu isteri kepada salah seorang kawan teman tadi.

Kawan-kawan teman tu ​bolehlah ber3nang sikit-sikit jadi depa pergi mandi ketengah sikit tahap-tahap dada. Teman ni taktau berenang dan sentiasa beringat kejadian dulu tu. Jadi teman mandi kat kawasan tepi pantai kedalaman antara pinggan ke lutut. Time teman jalan-jalan tepi pantai tiba-tiba teman termasuk ke dalam lubang. Punyelah terkejut Allah je yang tau..Sampai kaki teman tersentuh pasir rasa kedalamanya mungkin 1.5 kali ganda. bila teman lonjak naik semula ke permukaan masa tu teman menjerit mintak tolong..kawan-kawan teman boleh gelak ingat teman main-main. Ye le sape nak sangka kat tepi paras tak sampai pinggang boleh lemas. Teman masa tu mampu mengapungkan diri lagi tapi tenggelam timbullah. Time tu terus depa percaya berenang datang sekali semua terkejut sebab tempat yang teman lemas tu memang dalam. Alhamdulillah depa dapat tarik teman ke tengah semula. Pelikan?? Kenapa kat tengah lagi cetek dari tepi?

Lepas tu kami naik ke pantai kawan-kawan teman duk urut kaki teman sebab krem habis. Bila dah tenang tu kami pun bercerite dengan orang yang kami jumpe kisah lemas tu pelik tu. Baru la kami faham rupa-rupanya tanpa disedari kawasan yang teman lemas tu adalah kawasan teluk dipantai tu. Air di situ berpusing dan menyebabkan pantai area teluk tu lebih dalam berbanding area lain. Tambahan lagi kawasan teluk tu jadi tempat orang mengebom ikan itulah sebab dikatakan tepi pantai kawasan teluk tu lebih dalam. Teman pun tak paham macam mana pulak bom ikan boleh sebabkan air makin dalam? tapi kami ia kan jela..

Renungan bersama

​Ada himahnya bila Allah berikan ujian macam tu. Ia akan sentiasa menginatkan teman yang kita ni boleh mati dalam apa-apa cara sekalipun. Tak akan terlewat atau terlambat walau sesaat. Walaupun teman melalui saat yang sangat mencemaskan dan boleh dikatakan kemungkinan besar takda harapan, tapi Allah Taala kata belum masanya lagi maka tiada kuasa lain yang boleh menidakkan kehendak-Nya.

Keburukan makan maggi secara keterlaluan

Keburukan makan maggi secara keterlaluan

​Kesan buruk makan maggi

Dulu satu ketika teman bergelar seorang budak U.

Belajar di UiTM Arau tahun 2000-2003 course diploma in plantation industry management.

Course ini membekalkan graduan untuk bekerja di sektor perladangan. Kebanyakan Pengurus-pengurus ladang di Malaysia yang berbangsa Melayu adalah dari course ini.

Course DPIM ini hanya ditawarkan di UiTM sahaja.

bahaya makan maggi

Salah satu course yang tough dari segi fizikal dan mental.

Semua student Dpim perlu buat praktikal setiap semester kecuali part 6 sahaja.

Maknanya setiap kali cuti semester ketika student course lain balik kampung kami akan berpraktikal samaada ladang Uitm sendiri atau masuk mana-mana ladang di seluruh negara.

Pelajar part 1 wajib untuk jalankan praktikal di ladang UiTM sahaja. Part 1 ini adalah masa untuk pendedahan kepada akan datang yang mana kami wajib untuk cari tempat praktikal sendiri.

Disebabkan cuti maka semua kedai makan dan cafe yang ada dalam kampus tutup. Time tulah kami pelajar part 1 DPIM sangat kritikal untuk mencari makanan. Kalau ada pun kami perlu berjalan berkilometer keluar dari pintu pagar UiTM. Di era tu pelajar part 1 tidak dibenarkan bawa motor atau kereta ke dalam kampus. Memang tidak dibenarkan oleh pentadbiran UiTM tetapi mungkin sekarang dah berubah.

​Pagi petang siang malam makan maggi

​Minggu akhir sebelum cuti tu, kami pelajar part 1 beli maggi berkotak-kotak untuk bekalan sebulan praktikum. Sejak start praktikum pagi makan maggi, tengahari balik ladang penat-penat tu makan maggi malam pun makan maggi. Maggi tu adalah maggi kari. Sebab dalam banyak-banyak mee segera maggi karilah paling murah. Murah adalah pilihan kami hehehe...

Tak lama, cuma 3-4 hari mula terasa badan tak bertenaga walapun sekali makan 2 peket maggi. Maklumlah praktikal kat ladang perlukan tenaga yang banyak mengcangkul, bina kompos, clearkan plot ladang tengah-tengah panas.

bahaya makan maggi

Ihsan google

​Tapi kami masih teruskan makan maggi cuma ada sekali dua untuk makan malam kami berjalan keluar beramai-ramai. UiTM Arau had keluar masuk hanya hingga pukul 10. Jadi mau atau tidak kena keluar awal lepas maghrib. kalau terlewat sikit nanti siap la kena ngan pak guard.

Sikit-sikit ambik nombor matrik. Lepas tu naik courts. Sampai la nak akhir minggu ke dua. Masa tu mula rasa sedikit kelainan kat badan dan mental teman.

​Kesan buruk makan maggi secara keterlaluan

Ok kat sini teman nak kongsikan kesan nyata makan maggi terover.

Pertamanya badan akan rasa lemah dan menggeletar. Dari kolej ke ladang kena berjalan hampir-hampir 1 kilometer jugak walaupun masa tu sebenarnya tak terasa sebab kita berjalan dicelah-celah bangunan kolej.

Masa berjalan tu rasa badan sejuk je dan susah nak berpeluh. Teman yakin punca utama adalah kekurangan zat hehe..maggi mana ada zat untuk badan. Tambah pulak aktiviti banyak menggunakan tenaga. Memang kurus time tu.

bahaya makan maggi

Ihsan google

​Kesan kedua teman jadi lembap dan susah untuk faham arahan penyelia ladang sedangkan ketika tu teman seorang kg. Penyelia hanya bagi arahan kepada kg dan kg akan sampaikan arahan kepada ketua-ketua unit. Lain yang penyelia cakap lain yang teman sampai kan. Lain yang diterang lain yang teman faham hahaha…aduhai parah..

​Ketiga teman jadi pelupa tahap gaban..asal letak je satu barang, 2-3 minit lepas tu teman tercari-cari dimana teman letak tadi. Padahal masa tu baru umur 19 tahun. Kadang-kadang terpaksa balik ke ladang bila kawan tanya dah kunci ke tidak stor.

Memang masa tu teman seperti seorang budak berIQ rendah. Asalnya ingat teman sorang je jadi sedemikian rupe, padahal ada lagi 2-3 orang kawan yang bersimtom sama. Bila keadaan dah sampai macam tu rupe, barulah kami nak bermesyuarat. Akhirnya diutuskan 1 group untuk keluar cari mana-mana makcik-makcik kedai makan yang boleh sediakan makanan tapau dan dihantar ke dalam kampus. Tempoh depa pergi cari tu, kami yang lain bersama-sama cover tempat mereka kat ladang.

Cari punya cari dapat jugak. ​Kitaorang cari yang paling rendah kosnya almaklumlah budak yang kebanyakan bergantung dengan duit ptptn.

​Lepas tu memang rasa perbezaan, fizikal dan mental semua kembali seperti sediakala huhu.. itulah penangan maggi kalau kita makan berlebihan atau ekstrim. Tapi time tu bukan saja-saja nak makan tapi memang dah berada dalam keadaan 'darurat' dah. Sejak dari tu sehingga sekarang, mungkin setahun ada la 1-2 kali je kot teman makan maggi.

la ni bila tengok anak-anak gila makan maggi teman terasa risau. Nak dilarang takut kempunan. Tapi anak-anak makan maggi bukanlah setiap hari cuma sesekali teringin.


Maggi merupakan salah satu dari jenis makanan ringan. Ia tidak berbahaya jika kerap dimakan seperti yang admin pernah buat seperti post di atas. Tetapi tidak salah jika dimakan sesekali kerana maggi ni memang disuaki ramai tambahan sekarang ni pelbagai perisa maggi ada di pasaran.


Tempat menarik di malaysia untuk honeymoon 2018

Tempat menarik di malaysia untuk honeymoon 2018

​Tempat menarik untuk honeymoon malaysia

Kita sangat beruntung kerana lahir di sebuah negara yang penuh dengan keindahan alam. Kali ni olaoli akan share 4 ​​tempat menarik untuk honeymoon malaysia yang kami pernah pergi.

Malaysia merupakah sebuah negara yang terletak di garisan khatulistiwa yang kaya dengan tempat-tempat menarik.

Tak perlu pergi ke luar negara, lihat saja landskap yang ada di Malaysia seperti di Kedah, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak. Negeri-negeri ni mempunyai tempat yang menjadi tumpuan pelancong.

Orang yang dah kawin mesti pernah pergi honeymoon. Mungkin dah berkali-kali...macam aku hehe.. Kenapa kita nak pergi honeymoon? sebab ini adalah masa kita nak bercinta, berjiwang, berpanas-panas dengan pasangan secara berlebihan haha.. walaupun kita dah kawin, pastikan dapat sekurang-kurangnya sekali setahun untuk berhoneymoon.​

Pulau Langkawi

Ok..inilah tempat aku dan isteri berhoneymoon dulu. Macam semua orang tau, langkawi ni bebas cukai so banyak barang-barang yang harganya jauh lebih murah dari tanah besar. Langkawi ni habaq hang, antara tempat pelancongan yang paling ramai pengunjung di Malaysia setakat yang aku tau. 

tempat menarik di malaysia untuk honeymoon

Secara jujurnya kos ke Langkawi adalah paling murah berbanding tempat lain yang aku dah pergi. Penginapan, pengangkutan, makanan rasanya lebih murah dari Pulau Redang, Pulau Pangkor dan Tioman. Pemandangan landskap Langkawi pada pandangan aku adalah sederhana. Namun ia masih antara tercantik dan menarik di Malaysia. Itu sebab aku syorkan pada sesiapa yang nak berhoneymoon tapi belum pernah ke Langkawi silalah ambil kesempatan untuk ke sana time cuti nanti. Sebab Langkawi adalah salah satu tempat menarik di Malaysia untuk honeymoon dengan kos yang diperlukan adalah paling rendah.

Pulau Redang

Pulau Redang ni bagi yang taktau ianya terletak di tengah laut di Negeri Terengganu. Pulau Redang ni tempat menarik di Malaysia untuk honeymoon kedua aku pergi. Masa ni kembar aku dah berumur 2 tahun. Tinggal kejap kat Opah dan Mak sedaranya dan kami ambik kesempatan pergi honeymoon. Kami pergi ke Pulau Redang ni guna package honeymoon sekitar RM800 untuk satu pasangan

tempat menarik di malaysia untuk honeymoon

Perjalanan ke Pulau Redang dari Jeti di Kuala Terengganu ambil masa yang agak lama iaitu sekitar 2 jam. Memang agak teruk jugak aku dan isteri mengalami mabuk laut. Tak pernah kami naik feri begitu lama. Ombak terlalu kuat hinggakan feri yang begitu besar bagai dilambung-lambung. Masa tu terasa ngeri bila lihat ombak tengah laut. First time tu..

Kos untuk berada di Pulau Redang agak besar. Package yang kami ambil dah cover hotel, makan pagi petang dan malam dan pengangkutan feri. Tapi bila kami nak beli apa-apa makanan atau barangan lain ia lebih mahal dari Pulau Langkawi dan Tanah besar. Pemandangan di Pulau Redang memang cantik dan menarik. Time kami pergi tu seperti 80-90% pelancong yang kami jumpa adalah warga negara asing yang kebanyakannya dari Cina, Jepun dan Korea.

Pulau Pangkor

Pulau Pangkor ni dah berkali-kali aku pergi sebab dekat dengan kampung. Tapi isteri tak pernah pergi lagi so bawak lah dia pergi honeymoon ke sana. Pulau Pangkor ni merupakan honeymoon ketiga aku. Padahal taklah jauh dari area kampung sendiri. Pulau Pangkor antara tempat pelancongan yang mempunyai nilai sejarahnya sendiri sama seperti Pulau Langkawi. Di Pangkor ini menjadi saksi perjanjian Pangkor antara British dengan Sultan Perak ketika itu.

tempat menarik di malaysia untuk honeymoon

Kat situ juga pernah berdirinya kubu pertahanan Belanda yang kemudiannya dimusnahkan oleh serangan orang Perak. Kesan tinggalan kubu Belanda tu masih boleh dilihat hingga sekarang kerana ia menjadi tempat tumpuan pelancong di sana.

Ada beberapa pantai di Pangkor yang menjadi pilihan seperti Pantai kampung Nipah, Bogak, Teluk Dalam dan beberapa lagi yang lain. Kami pilih untuk menginap di Pantai Teluk Nipah. Chaletnya betul2 atas pantai. Malam-malam syok dengar deruan ombak. Feel asmara datang  melampau-lampau ketika tu haha.. Bagi orang Perak yang nak berhoneymoon, tak payah pegi jauh-jauh dulu. Silalah pergi ke Pangkor dulu sebab... huih lain macam 'feelnye'. Hehe recommended untuk tempat menarik di Malaysia untuk honeymoon.

Tempat menarik di Malaysia untuk honeymoon

Ranau/Kudasang

Kali ni kita ke Sabah pulak. Kalau korang nak tau di Malaysia ni tempat paling sejuk adalah di Ranau. Cameroon Highland pun kalah. Kalau 3 sebelum ni aku berhoneymoon di pulau-pulau, maka yang keempat dan terakhir ni aku dan isteri meluangkan masa berbulan madu di Kundasang. Pemandangan Kundasang memang sangat tenang dan tenteram. Melihat kehijauan alam di pergunungan yang tertinggi di Asia Tenggara. Kundasang/Ranau merupakan antara tempat menarik di Malaysia untuk berhoneymoon dan menjadi pilihan utama mana-mana pasangan. Ramai juga orang semenanjung yang kesana untuk berbulan madu.

tempat menarik di malaysia untuk honeymoon

Masa kami kesana kebetulan kena musim hujan. Punyalah sejuk, sampai bernafas pun keluar wap. Nak mandi rasa tak sanggup. Banyak tempat yang kami pergi seperti Memorial perang dunia ke dua, perkampungan ladang arnab dan poring untuk mandi air panas. Dan banyak sayur yang kami beli di kedai-kedai tepi jalan. Malam tu kami pinjam portable kitchen dari chalet dan masak makan sayur. Chalet yang kami tu ada anjung. So malam-malam berdua makan sayur dengan penuh romantiknya huhu.

​Kesimpulan dari tempat menarik di Malaysia untuk honeymoon

​Itulah 4 tempat yang aku pernah berhoneymoon. Ada juga tempat lain tapi tak semenarik yang 4 ni. Jangan korang tertanya-tanya tentang anak-anak aku dimana ketika kami honeymoon. Aku tinggalkan dengan adik dan sekali dengan orang gaji. Setahun bekerja kena jugak sekali bersama-sama beromantika. 

Jadi korang tak payah la cari tempat luar negara untuk honeymoon. Jalan-jalan dulu kasi habis area Malaysia. Aku rasa kalau setahun sekali macam tak habis tempat jugak tempat-tempat menarik kat Malaysia ni kta pusing. Ehh...lupa pulak fakta penting. Aku tak pernah berhoneymoon ke luar negara pasal aku tak cukup duit huhu..

olaoli

Malaysia sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam setanding dengan mana-mana negara lain di dunia. Jadi sebagai rakyat negara yang bertuah ni hargai dan nikmatilah anugerah Allah Taala atas segala anugerahnya. Sentiasa bersyukur dan bersama-sama menjaga pemberian ini.

Tempat menarik di Teluk Intan

Tempat menarik di Teluk Intan

Salam semue. ​Kali teman nak menulis tentang asal usul teman. Pelik tak sebab ape ganti name diri kali ni teman? Ini la ceritenye...teman nak mengisahkan yang teman ni orang Perak Darul Ridzuan. Ye teman ni berasal dari Teluk Intan. Tau ke Teluk Intan kat mane? Teluk intan ni berada dalam daerah hilir perak dan antara paling selatan. Nak pergi Sabak Bernam dari Teluk Intan ni dalam 40 minit aje.

Se​belum tu teman kena kenalkan keturunan teman ni dulu cewah. Teman adalah campuran orang Melayu, Acheh dan Minangkabau. Mak teman original melayu tanpa sebarang kawin campur setakat yang diketahui le. Arwah ayah teman campuran minang dan Acheh. Minang sebelah bapanye dan Acheh sebelah maknye. Tapi dalam diri arwah ayah teman pengaruh minangkabau lebih kuat. Adat perpatih masih diamalkan termasuklah pemberian harta.

​Daerah Teluk Intan

Walaupun teman mengatakan teman ni asal Teluk Intan tetapi parlimen teman adalah Pasir Salak dan Dun Kampung Gajah. Kalau dibandingkan jarak antare pekan kampung Gajah dengan pekan Teluk Intan ke kampung teman ni, Teluk Intan lebih dekat.

sejarah teluk intan

Sebab itu teman katekan teman ni orag teluk intan dan bukan kampung gajah. Ate kome paham ke teman cerite ni. Kalau tak paham tak ngape, bace je sampai habih. Kampung teman pulak berade dikawasan mukim Teluk Bharu 8 kilometer selepas jambatan Sultan Yusof menghale ke Setiawan.

Kat Teluk Intan ni YB nya sentiasa bertukor-tukor. Kadang MCA dan kadang DAP. Tapi yang benornye bandor Teluk Intan semakin maju dan sangat berbeze kalau dibandingkan dengan 20 tahun yang lepas. Teman tengok mane-mane parti yang berkuasa di Teluk Intan semua berikan fokus yang bagus untuk membangunkan bandor ni.

​Sejarah Telu​k Intan

Sejarah name Teluk Intan ni bermule bila diterokai oleh seorang jande yang bername Mak Intan. Kemudian ramai orang datang bersame menerokai Teluk Intan seperti orang jawe, orang banjar, orang melayu dan suku-suku lain yang kebanyakanya dari tanah Sumatera. Sehinggalah tempat itu di kenali Pekan Teluk Mak Intan. Tapi bila datang orang british ke sini nam​e Teluk Mak Intan telah ditukor namenye kepada Teluk Anson sempene dengan name Gabenor british ketika itu. Kemudian pada tahun 1982 iaitu tahun kelahiran teman, nama bandor tu ditukar semule kepade Teluk Intan.

​Daya tarikan Teluk Intan

Kat Teluk Intan ni yang menjadi ingatan orang adalah bile dikaitkan dengan menare jam senget. Mike ingat Menara Pisa je senget, kat Teluk Intan pun ade menare senget. Asalnya menare tu dibina selain untuk waktu juga sebagai tangki simpanan ayor untuk bekalkan air ke pekan Teluk Intan. Dulu kat menare tu ade pasar ikan, sekarang dah jadi dataran. Kat dataran tu macam-macam aktiviti dijalankan dan sentiasa meriah. Dulu kat Teluk Intan tak ramai orang, sekarang berkali ganda sibuknya.

menara senget teluk intan
menara senget teluk intan

​Batu hidup Teluk Intan

Selain menare senget, kat Teluk Intan ade satu batu hidup. Dikatekan batu tu semakin membesor dari sehari ke sehari. Tapi tak pasti le sekarang ni ada lagi ke idok. Last teman tengok saiznya sebesar kereta kancil. Kedudukan batu tu dekat simpang empat sebelum masuk ke pekan Teluk Intan. Menurut cerite arwah opah teman dulu, masa dia kecik batu tu saiznya dalam setengah saiz yang sekarang. Batu tu di letak kat situ oleh British untuk memperingati tentera british yang terkorban di era perang Dunia pertame.

​Istana Raja Muda di Teluk Intan

Kat Teluk Intan ada satu Istane terbiar bersemak dan rosak tidak dijage dan diperbaiki. Turun temurun mane-mane Raja Muda Perak akan bersemayam di Istana ini. Kali terakhir adalah sehingge tahun 1987 apabila Raja Muda Perak ketika itu meninggal. Raja Muda Perak

sejarah teluk intan

​berikutnya iaitu Raja Nazrin(sekarang Sultan Nazrin Sultan Perak) tidak lagi bersemayam di istana tersebut. Sejak itu Istana ini ditinggalkan terbiar tanpe ade sebarang usaha untuk menjagenye.

​Restoren Nasi Lambai​

Satu lagi yang bersejarah di Teluk Intan ini adalah sebuah restoren yang survive berdekad-dekad iaitu Nasi lambai-lambai. Kenape di panggil nasi lambai-lambai? Mengikut kate arwah opah teman, kedudukan restoren lambai-lambai ni betui-betui berade di tebing Sungai Perak dan jeti utame Teluk Intan. Kalau kome nak tau, medium pengangkutan utame rakyat hilir perak dahulu kale untuk ke Teluk Intan adalah berperahu dan bersampan.

Tempat untuk 'parking' perahu dan sampan adalah di jeti Teluk Intan. Jadi bila orang naik dari sampan ke jeti untuk pergi ke pekan, mamak Restoren Nasi Lambai-lambai akan melambai memanggil orang ramai untuk makan kat situ. Dari situlah dikatakan ia mendapat nama Lambai-lambai. Arwah opah teman elok je kenal dunia dia dah tau dah Restoren tu. Arwah opah lahir tahun 1930. Maknanya restoren nasi lambai-lambai dah berusia hampir 90 tahun.

nasi lambai lambai
nasi lambai lambai

Sejarah Hitam Teluk Intan

Bandor ini juga pernah menjadi saksi pertempuran di beberapa zaman. Antara yang penting adalah pertempuran antare tentera British menentang tentera jepun. Seterusnya menjadi saksi kepada pertempuran maut antara kaum ketika Komunis memerintah 14 hari. Di sungai Perak di daerah Teluk Intan juge menyimpan sejarah pembunuhan antara kaum melayu, banjar, jawa dengan kaum cina. Sehingga wujud satu kampung Cina di hujung Teluk Intan selepas kaum cina ketika itu berkumpul selepas tak ade lagi tempat untuk lari.

Di Teluk Intan ini masih lagi ada sikap tidak mempercayai antar​e kaum sehingga kini. Terutama di beberapa kawasan yang menjadi medan pertempuran seperti kampung banjar. Namun kini teman lihat ia tidak lah sepanas dulu lagi. Antara kaum sudah mula boleh bertolak ansur asalkan patuh dan setia kepada kontrak sosial yang telah dimeterai 70 tahun dahulu.

​Itulah sedikit sebanyak tempat asal-usul teman dari lahir dan membesor. Tapi teman dah dekat 12 tahun merantau jauh dari tempat kelahiran teman ni. Insyaallah satu hari nanti bila dah lama merantau balik le teman ke daerah teman tu semule.

olaoli

Asal usul teman adalah dari Teluk Intan. Sebuah bandar kecil tetapi sekarang ni semakin maju berbanding pekan-pekan lain dikawasan Hilir Perak. Teman ni taklah pekat sangat loghat Peraknye mungkin sebab teman ni dari habis je SPM tak duduk Perak dah

Pengalaman kerja hantar tong gas

Pengalaman kerja hantar tong gas

2-3 hari lepas ternampak motor delivery tong gas. Teringat kembali nostalgia zaman belajar di UiTM Shah Alam 15 tahun yang lepas. Masa tu sama jugak macam-macam pelajar lain, kesempitan duit terutama bulan-bulan akhir setiap semester. Macam-macam kerjalah dibuat masa cuti semester untuk cari duit. Duit untuk bayar yuran next semester. Aku bukan jenis duduk di rumah tunggu mak suap.

Walaupun hanya cuti semeter, pada pandangan aku kalau cuti sepenuhnya hanya makan minum menyusahkan mak bapak, tu dah masuk kategori menganggur. Zaman tu untuk fakulti sains gunaan rata-rata yuran semester sekitar RM300-350. Sekarang ni taktaulah berapa mungkin besar lagi.

Kebiasaanya time cuti semester aku akan buat pilihan untuk balik kampung dan buat kerja kampung. Kerja-kerja kampung ni biasalah ambil upah potong buah sawit, angkut sawit ke tempat penimbang. Upah setiap tan RM50. Tapi itu kene bagi gak dengan kawan sebab aku tak buat kerja sorang-sorang takut injured. Kita buat kerja tu untuk cari duit nak belajar bukan nak jadikan kerja hakiki. So taknak push sangat sebab biasanya kerja sawit ni efek pada pinggang dan lebih teruk lagi risiko kena buasir.

Penghantar gas di Puncak Alam

Untuk semester 5 aku tak balik ke kampung. Sebab masa tu fikir semester 6 kena buat thesis. Nak kene pakai banyak duit. Kerja sawit kat kampung dapat setakat 4-5 ratus je setakat lepas yuran. Ptptn tak ada lebih. Sekadar cukup untuk bayar sewa rumah, makan dengan keperluan harian je. Masa tu la aku ikut kawan bekerja hantar gas masak kat Puncak Alam. Sebulan tepat aku bekerja sebagai penghantar gas huhu..

Kawasan Puncak Alam ketika tu agak luas dan ramai penduduk. Seingat aku banyak lagi taman-taman perumahan di Puncak Alam yang masih dalam pembinaan. Mungkin sekarang Puncak Alam lebih maju. 

Berbalik semula cerita tadi, kat Puncak Alam aku bekerja dengan seorang bekas tentera, orang Kelantan yang bermastautin kat situ. Panggilan aku kat dia abang Din. Abang Din laki bini adalah bekas tentera. Sama kem, start services sama dan tamat services pun serentak. Depa ni memang suami isteri yang baiklah pernah aku jumpa. Bagi aku kerja, bagi aku makan dan bagi aku tempat tinggal walaupun tak pernah kenal.

​Selepas graduate pun aku bekerja hantar tong gas juga sebab lambat baru dapat kerja. Hampir 9 bulan selepas graduate aku masih menghantar resume ke sana-sini. Sementara tu aku kembali ke Puncak Alam kerja dengan Abang Din. Korang boleh baca post Siswazah Menganggur di sini.

penghantaran tong gas

Ihsan google

Sepanjang kerja hantar gas tu, banyak perkara-perkara baru yang aku belajar. Macam-macam jenis manusia aku jumpa. Macam-macam perangai pelik aku pernah tengok. Keadaaan rumah macam-macam rupe pernah aku lihat. Sebab bukan mudah nak masuk rumah orang ni, tukang hantar gas je yang biasa dapat kebenaran masuk kerumah sampai la ke dapur.

Tempoh masa aku berkerja adalah dari pukul 7 pagi sampai 12 malam. Aku bekerja 17 jam sehari selama sebulan huhu..hanya orang yang biasa kerja berat je sanggup. Mungkin aku dah biasa kerja sawit so rasa macam tidak masalah sangat. Apapun angkat tong gas pergi tingkat 4 memang buat aku termuntah jugak. Mula-mula tu taktau lagi teknik angkat. Angkat tong gas tak sama dengan angkat sawit. 

Angkat sawit banyak guna bisep

Angkat tong gas perlu letak kat belakang tengkuk.​

​Masalah yang paling berat adalah susah nak tidur. Sebab bila-bila masa je orang call suruh hantar gas. Sehari time siang dapatlah tidur dalam setengah jam. Bab tidur tu lah yang masalah sikit. Tapi kira ok sebab budak-budak baru nak up. Yang penting setiap kerja yang kita buat dapat duit. Motif utamanya adalah mencari dana semester 6.

Kaedah penghantaran adalah menggunakan motor je. Cuma motor tu telah dipasang dengan besi untuk letak dan sangkut tong gas. Sekali jalan boleh bawak 3 tong. Satu tong letak melintang dan 2 lagi sangkut di kiri dan kanan. 

penghantaran tong gas

Ihsan google

Memang kerja tu sentiasa berada kat atas motor je sebab bila ada order perlu terus hantar tak boleh tunggu-tunggu kumpul order baru nak hantar. Nanti marah orang sebab tak boleh masak. 

Upah 

Upah dibayar berdasarkan jenis rumah. Dibahagikan kepada 3 kategori. Rumah teres, rumah flat tingkat 1&2 dan rumah flat tingkat 3&4. ​ Upah:

  • rumah teres - RM1.00
  • rumah flat 1&2 - RM1.50
  • rumah flat 3&4 - RM2.00

Sehari lingkungan antara 40-60 tong gas order yang aku kene hantar. Purata upah sehari adalah antara RM40-RM80. Setiap hari aku siap doa, banyak-banyak la order masuk. Makin banyak order makin banyaklah upah aku dapat. Paling best jika order dari restoren atau gerai-gerai tepi jalan. Sekali depa order 3 tong terus. Syok menghantar sekaligus.

Itulah pengalaman kerja time cuti semester. Tak duduk diam kat rumah. Masa tu penat bahaya tak fikir sangat, dalam kepala nak cari duit banyak-banyak. Asal halal ok dah. So pada mana-mana adik-adik yang berada dalam cuti semester, jangan lepak kat rumah aje. Keluar pergi cari kerja. Belajar bergaul dan memahami dunia dengan reality sebenar. Semua tu tak dapat kat dalam kuliah.

​Nasihat aku kepada bakal-bakal graduan diluar sana guna semua masa dan peluang untuk mencari duit dan pelajari sesuatu yang baru. Jangan balik duduk rumah goyang kaki. Cabar diri untuk menjadi seorang yang rajin dan berdikari. Elakkan dari menjadi seorang penganggur.


 

olaoli

Kerja yang banyak memberi pengalaman bila berhadapan dengan karenah manusia. Walaupun ia hanya sekadar penghantar tong gas tetapi banyak yang dapat dipelajari bila berhadapan dengan pembeli.

 

>
Ada masalah mari kita sembang