Sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab
Satu ketika dulu aku ada post satu artikel tentang perjanjian sewa rumah. Dalam post tu juga aku ada selitkan tentang rumah aku yang berjaya disewakan. Kalau tak baca lagi boleh baca di sini. Untuk pengetahuan korang aku dan isteri ada 2 unit rumah dan kedua-duanya di sewakan. Unit rumah aku fully furnish manakala unit rumah isteri partially furnish. Walaupun rumah aku cuma satu bilik tetapi ia berjaya disewakan pada kadar harga RM 700 sebulan manakala 3 bilikrumah isteri aku cuma dapat disewakan RM 800 sebulan sahaja.
Sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab
Kali ni apa yang nak aku ceritakan adalah berkaitan dengan tajuk iatu sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab. Selepas setahun setengah, penyewa maklumkan yang beliau akan dipindahkan ke tempat lain dan tidak dapat meneruskan sewaan. Tidak jadi masalah untuk aku sebab dikawasan rumah aku tu memang demand rumah sewa tinggi terutama jika fully furnish. Baru sehari je letak iklan kat mudah aku dah dapat penyewa baru.
Lepas je aku terima kunci dari bekas penyewa aku terus masuk untuk bersihkan rumah sebab penyewa baru akan masuk. Di situlah bermulanya kekecewaan bila lihat keadaan rumah huru hara dan perkakasan dalam rumah ada yang rosak dan tak cukup sifat. 1 tahun 7 bulan satu masa yang singkat kalau kita di rumah pun dalam tempoh tu perabot dan peralatan elektrik semua dalam keadaan yang baik. Tapi tidak apabila kita dapat penyewa yang tidak bertanggungjawab. Mesin basuh kemik sana sini. Peti ais bahagian pintu atas bekas berlubang-lubang seperti diketuk dengan benda tajam. TV full hd aku kesan kemik di 2 tempat pada bingkai tv. Tapak kaki tv juga patah seperti terjatuh dari kabinet.
Penyewa juga dipesan sebarang kerosakan dalam rumah mestilah bagitau kepada aku dengan cepat sebab selagi dalam tempoh warranty sebarang pembaikan adalah percuma. Malangnya disebabkan tidak ada rasa tanggungjawab, ia dibiarkan sahaja rosak tanpa sebarang makluman.
Sikap penyewa yang tidak ada perasaan malu
Bahagian dapur kabinet yang aku pasang, dibahagian atasnya melekat dengan kesan minyak yang tak boleh ditanggalkan. Jenuh aku menenyeh menyabun dan bermacam cara lagi. Macam langsung tak pernah dilap berbulan-bulan. Itu belum lagi lantai yang mengalami kerosakan. Yang membuat aku paling ‘terkesima’ apabila melihat dinding rumah. Habis melekat-lekat pita hitam dan berlubang-lubang bekas paku. Padahal aku dah pesan dan memang ada pun dalam perjanjian sewaan tidak boleh memaku di dinding rumah. Bukan sahaja dinding rumah malah pintu bilik air dan bilik juga berlubang dengan bekas paku.
Bertambah sakit hati boleh pula minta full deposit semula dengan alasan nak bayar deposit sewa rumah baru. Jika keadaan rumah dah begitu maka jangkaan utility bil pasti ada masalah dan memang betul sangkaan aku apabila bil elektrik tertunggak selama 2 bulan dan kini aku menunggu bil terbaru pula. Begitu juga bil air yang tertunggak selama 3 bulan.
Claim deposit untuk sebarang kerosakan
Oleh sebab itu aku telah claim deposit 2 bulan + 200 utility untuk sebarang kerosakan dan bil tertunggak. Semua kos aku tolak beli cat, wallpaper, penutup lampu dan beberapa barangan lain. Aku cuma pulangkan beberapa ratus sahaja. Nak marah tak marah dah itu pun kos yang perlu aku cover. Beliau adalah sangat beruntung kerana dapat rumah tu ketika semua perabot dan barangan elektriknya baru dibeli. Sepatutnya dijaga dengan baik. Rumah aku tu kabinet selain kabinet dapur telah dipasang kerana termasuk bersama pakej rumah. Semuanya built in termasuklah wardrobe. Sebarang kerosakan menyebabkan aku terpaksa memanggil syarikat yang memasang perabot rumah tu semula untuk pembaikan dengan kos yang lebih tinggi.
Tindakan terbaru untuk mengelakkan mengalami situasi yang sama
Penyewa baru telah pun menerima kunci dan tandatangan perjanjian penyewaan yang baru kelmarin. Aku telah menambah beberapa term yang ‘keras’ dalam perjanjian lebih banyak dari perjanjian dengan penyewa sebelum ini. Antaranya ialah
- sebarang kerosakan peralatan elektrik dan jika tidak dibaiki maka deposit akan digunakan untuk menggantikan barangan yang rosak dengan yang baru.
- maksimum penghuni hanya 2 orang sahaja.
- RM 500 akan di charge dari deposit rumah jika penyewa memaku/kesan paku pada dinding atau mana-mana bahagian dalam rumah.
Dan perubahan pada deposit ialah 3+1+RM300. Sebelum ini 2+1+RM200. Alhamdulillah penyewa baru ni bersetuju dengan syarat-syarat yang terdapat dalam perjanjian tersebut. So Hari isnin ni aku akan ke LHDN untuk matikan setem sewaan tersebut.
Kesimpulan untuk Tuan rumah sewa
Nasihat aku kepada tuan-tuan rumah yang nak sewakan rumah, pertama kita mesti ada satu dokumen yang sah untuk menguatkan sebarang tuntutan terhadap sebarang masalah kemudian hari. Yang aku maksudkan adalah Dokumen Perjanjian Sewaan rumah. Term-term yang terdapat dalam perjanjian mestilah jelas dan tidak merugikan kita sebagai owner. Antara kesilapan aku ialah hanya meletakkan perkataan larangan terhadap paku dinding rumah. Aku tak boleh nak charge besar untuk beli cat dan simen. Dan lagi stress ialah aku tak cukup masa nak mengecat menyimen(malas pun ada jugak). So perubahan yang aku buat ialah terus charge RM 500 jika larangan pemakuan dinding dilanggar oleh penyewa. Alhamdulillah penyewa baru ni bersetuju, mungkin sebab mereka ni perempuan dan tak suka kot memaku-maku dinding.
Syarat yang banyak bukanlah bertujuan untuk mengambil kesempatan ke atas penyewa atau mengongkong penyewa. Sebaliknya ia bertujuan untuk mencegah kerugian terhadap tuan rumah yang telah mengeluarkan kos yang besar untuk memberi keselesaan kepada penyewa. Rumah sewa juga adalah satu bisnes. Mana-mana bisnes pun konsepnya adalah mengelakkan dari mengalami sebarang kerugian dan mendapat keuntungan. So bagi aku ianya adalah win-win situation samaada kepada penyewa mahupun tuan rumah.