Pokemon Go difatwakan haram oleh mufti
Pokemon Go
Dah lama hamba tak mengupdate blog suci murni ni sehinggalah penuh dengan sawang (comment spam) yang jumlah nya cecah angka seribu. letih la jugak menekan butang spam untuk delete komen-komen tu semua. Dekat 2 bulan tak update sampailah lupa password nak login, nasiblah ada save manual kat dalam nota. Kalau tak letih nak menyekrol inbox gmail mencari email password. Kali ni hamba “terpost” sebab terkesan betui dengan kes Pokemon Go. Taukan Pokemon Go? Alah game yang duk berjalan-jalan mencari pokemon maya pakai smartphone tu lah. Tapi kalau pakai 3310 memang tak boleh main hehehe.
Hamba pun gatai tangan gak menginstall nak try main. Drive kereta pergi mencari menatang tu. Jauh gak berjalan membazir minyak, jumpa kemudian tangkap kumpul, kemudian jalan lagi mencari. Dengan yakinnya hamba menyatakan yang pokemon go adalah satu permainan yang langsung tidak mendatangkan faedah malah mendatangkan pelbagai jenis risiko kepada pemain. Boleh pulak pokemon yang hamba dapat tu duduk kat tepi pintu kelab malam. Kalau la ada sedara mara nampak hamba disitu tak pasal-pasal kena fitnah. Padahal nak tangkap pokemon. Kurang ajar pokemon tu. Kemudian risiko masa drive kereta. Mata hamba duk memerhatikan screen phone duk belek-belek screen mencari arah, Kerja yang sangat tidak berfaedah dan merugikan masa dan kos. Selepas hampir 3 jam berusaha, hanya seekor je dapat.
Fatwa pengharaman Pokemon Go
Dari pengalaman sekali tu, hamba sangat memahami kenapa fatwa yang dikeluarkan oleh seorang mufti dan disokong pula oleh beberapa mufti negeri yang lain mengharamkankan pokemon go. Seorang mufti mengeluarkan sesuatu fatwa bukanlah dengan sewenang-wenangnya mengikut selera, tetapi penuh dengan sebab musabab berdasarkan ilmu dan berpandukan Al-Quran dan Hadis Nabi. TAPI…di sebabkan pokemon go, ramai sungguh orang-rang melayu menghentam dan mencaci mufti-mufti ini dengan mengaitkan hal-hal yang lain terutama berkaitan isu politik negara. Antara isu yang dikait adalah: ‘kenapa 1MDB tu tak dikeluarkan fatwa haram!’, “awatnya tak teguq pemimpin duk biaq bini tak pakai tundung. Halal kot no tak pakai tudung?”, “rakyat setengah mati depa duk pedajal dengan GST, oh tak haram no” dan bermacam lagi le yang hamba baca kat facebook memasing dengan idea dan ‘fatwa’nya. Mufti ini diperbodohkan semahu-mahunya. Teruk mufti ni kena hentam, kengkadang hamba tak menahan rasa marah tak pasal-pasal bergaduh dengan pengkritik-pengkritik tersebut.
Fatwa pengharaman Pokemon Go ditentang
Memang dasar manusia sudah begitu. Kalau sesuatu itu selari dengan jiwa atau kehendak atau kecenderungan mereka, maka seboleh-boleh mahu dihalalkan walaupun was-was statusnya. Sebelum kes pokemon ni, pernah juga hamba dengar kes fatwa pengharaman rokok. Masa tu teruk jugaklah mereka-mereka yang mengeluarkan fatwa mengharamkan rokok ini dihentam kiri, kanan, atas, bawah, depan dan belakang. Sebabnya apa?? Sebabnya mereka tak boleh dah nak berpisah dengan rokok. Mereka sudah tidak boleh lagi nak melupaka nikmat ‘stim’ rokok. Bak kata rakan hamba selaku perokok tegar, “seminggu tak berjimak dengan isteri boleh tahan tapi 3 jam tak sedut rokok boleh beku otak”.
Selaku orang islam dan melayu, sebaik-baiknya kita menerima fatwa tersebut dan cuba memahami asas kepada fatwa haram dikeluarkan. Isu utama sekali adalah keselamatan individu. Bukan kita tak tahu, sudah berapa nyawa manusia melayang negara-negara lain akibat permainan itu. Adakah kita pun sedang menanti dan menunggu nyawa pertama melayang akibat permainan ini di negara kita pula?