Images

Nak sewakan ikut bilik atau sebuah rumah?

Nak sewakan ikut bilik atau sebuah rumah?

Assalamualaikum apa khabar semua.

10 hari tanpa sebarang post, kali ni post berkaitan pendapat yang ingin aku kongsikan kepada tuan-tuan rumah yang hendak menyewakan rumah tetapi masih belum mampu untuk membuat keputusan samaada disewakan sebuah rumah kepada satu penyewa atau sewakan ikut bilik.

Sebenarnya dah agak banyak mesej diterima yang bertanya tentang manakah lebih baik antara 2 pilihan yang telah aku nyatakan di atas. Beberapa pembaca juga menghubungi meminta contoh surat perjanjian yang boleh mereka guna dan edit mengikut kesesuaian masing-masing. So dengan rajinnya aku menggodek emelmatik percuma setahun untuk sediakan satu landing page yang sangat sederhana untuk sesiapa yang nak download contoh perjanjian yang dah aku gunakan di perjanjian sewa rumah

Nak sewakan sebuah rumah atau ikut bilik?

Aku rasa boleh menjawab soalan ini kerana berpengalaman menyewakan dengan kedua-dua pilihan tersebut. Mula-mula aku senaraikan kelebihan kedua-dua pilihan itu.

sewakan ikut bilik

Kebaikan sewakan sebuah rumah:

  • mudah untuk membuat perjanjian kerana hanya satu penama sahaja untuk mewakili setiap orang yang tinggal dirumah tu.
  • kita meletakkan kesemua tanggungjawab hanya kepada seorang penama dan kalau ada kerosakan barang memang kita tuju terus tanggungjawab kepada penama tersebut.
  • tidak ada risiko konflik (pergaduhan) antara penyewa yang jika berlaku pening kepala tuan rumah dibuatnya.

sewakan ikut bilik

Kebaikan sewa ikut bilik:

  • rumah anda berkemungkinan kecil untuk kosong tanpa penyewa. Sebab sekurang-kurangnya akan ada seorang penyewa dan ini menjamin cash flow anda sentiasa ada.
  • sewa ikut bilik lebih menguntungkan kerana anda boleh cas berdasarkan jenis bilik. Untuk master room anda mungkin boleh kenakan cas sehingga 2 kali ganda dari bilik lain kerana bersaiz lebih besar dan mempunyai tandas sendiri. Biasanya hasil sewa ikut bilik lebih besar dari sebuah rumah.
  • kerosakan/kotor rumah tidak menyeluruh kerana kebiasaanya penyewa adalah tidak sekepala dan masing-masing dengan cara sendiri.

 

Ok di bawah ni pula adalah kelemahan kedua-dua pilihan tersebut.

Keburukan sewa sebuah rumah:

  • jika ada kerosakan kebiasaanya bersifat menyeluruh di rumah tersebut kerana sikap ‘sekepala’. kalau dah lihat dapur kotor atau ada kerosakan, percayalah ruangan lain pun lazimnya akan ada juga kerosakan.
  • ada masanya jika penyewa telah keluar, untuk mendapatkan penyewa baru akan mengambil masa mungkin seminggu dua minggu bagi sesetengah kawasan. so jika berlaku macam tu cash flow korang mungkin terganggu sikit.

Keburukan sewa ikut bilik:

  • kebiasaanya akan ada konflik ketidakpuasan hati antara penyewa-penyewa. Biasanya benda ni berlaku apabila berkaitan dengan bil elektrik, air, maintenance dan kerosakan. Kadanag-kadang ada penyewa berasakan tidak adil untuk bayar sama banyak sedangkan penggunaan elektrik dan air mereka adalah sedikit. Tak pasal-pasal hujung bulan sampai lah whatsapp cerita pasal tak puas hati memasing.
  • jika sewakan sebuah rumah, bayaran sewa akan masuk sekaligus dan mudah nak trace. so hujung bulan bukak akaun bila lihat sewa rumah dah masuk maka dah selesai. Berlainan dengan sewa ikut bilik kerana penyewa-penyewa bayar pada tarikh dan masa yang berbeza.

Itulah beberapa kebaikan dan keburukan berdasarkan experience sendiri yang dapat dikongsikan. Pada awal-awal dulu aku sewakan rumah ikut bilik sebab cash kita dapat lebih besar. Tapi dari mengalami beberapa kepayahan seperti yang aku sebut kan di atas, selepas dari itu aku cari penyewa yang nak sewa sebuah rumah walau pun cashflow sedikit rendah.

Tak larat nak layan kerenah penyewa-penyewa. Itu belum lagi bila ada laporan dari penyewa yang mengadu sipolan-sipolan bawak balik boyfriend la kawan la buat bisingla..tak larat den nak layan setiap bulan benda-benda begitu. Namun kalau dapat penyewa-penyewa yang sama-sama bagus insyaallah takde masalah.

Belanjawan 2018 berita gembira untuk kakitangan awam

Belanjawan 2018 berita gembira untuk kakitangan awam

Semenjak 4-5 hari ni semakin luas tersebar desus desas tentang berita gembira untuk kakitangan awam bersempena dengan pembentangan belanjawan 2018 oktober ini. Lebih kurang 3 minggu lagi budget akan dibentang dan hint yang diberikan oleh DS. Najib membuat kakitangan awam tertanya-tanya, apakah berita gembira itu?? Termasuk lah aku yang mengeluarkan tanda tanya dikepala..dapat bonuskah?

belanjawan 2018

Belanjawan 2018 untuk kakitangan awam

Sebagai seorang kakitangan awam yang dah 10 tahun berkhidmat dan bergred 44 cewah!!!..memang setiap tahun akan ternanti-nanti apakah imbuhan yang akan diberikan oleh kerajaan. Almaklumlah setiap kali nak akhir tahun ni banyak kos yang diperlukan yang lebih besar dari kos hari raya. Kos persekolahan anaklah yang paling besar. Kena pulak bila ramai anak yang bersekolah. Misalnya anak aku 4 orang bersekolah, 3 sekolah rendah dan 1 tadika. nak kena beli buku teks lagi untuk anak-anak. Tambah lagi dengan buku latihan kerja yang setiap tahun perlu dibeli sebab habis guna. Kos beli buku ni memang besar tapi nak buat macam mana buku teks disekolah tidak mencukupi maka ada golongan ibu bapa yang terpaksa beli buku teks untuk anak mereka.

Apakah berita gembira untuk kakitangan awam itu?

Setakat ni semua orang taktau apakah berita gembira yang dimaksudkan itu melainkan orang yang membuat belanjawan 2018 itu. Namun ianya boleh diagak apakah kemungkinan imbuhan yang untuk kakitangan awam terutama orang yang pandai mengagak seperti aku huhu..

Jadi disini ada beberapa kemungkinan:

Pertama – Bonus, samaada sebulan atau setengah bulan gaji. Jangkaan aku adalah sebulan gaji dan bonus akan dimasukan mungkin 2 kali iaitu bulan 12 dan bulan 1. (kelebihan bonus kerana jumlah yang besar masuk sekaligus dan menyelesaikan masalah untuk sementara sahaja)

Kedua – Kenaikan tangga gaji sekurang-kurangnya 1 tangga gaji + bantuan khas RM500. Cuma tak pasti bila pula kenaikan tu. Kalau sebelum ni didalam budget 2016, kenaikan 1 tangga gaji adalah pada bulan Julai. Kelebihan kenaikan gaji ni adalah ianya tetap setiap bulan. Maknanya tahun 2018 kita akan dapat 2 kenaikan gaji.(aku suka yang ni)

Ketiga – Bantuan khas RM500. Aku yakin adalah kemungkinan kecil jika hanya pemberian bantuan khas RM500. Kenapa? memandangkan pilihanraya ke 14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya bulan 9 tahun hadapan, maka kemungkinan ketiga(bantuan khas) ini adalah kecil. Namun andai/jika pilihanraya ke 14 boleh dilakukan akhir tahun hadapan maka pilihan ketiga ini adalah berpotensi besar untuk kakitangan awam seperti sebelum-sebelum ini.

belanjawan 2018

Dah 10 tahun sebagai penjawat awam dan telah melalui 2 kali pilihanraya dari 2 pemimpin yang berbeza, tidak sukar untuk mengagak apakah berita gembira yang dimaksudkan. Cuma kalaulah tak dapat seperti apa yang kita jangka dan harapkan jangan pula marah dan memaki hamun.

Keadaan ekonomi tengah tak sedap ni dengan kos kehidupan yang tinggi memang terasa terhimpit terutama golongan berpendapatan rendah. Bantuan BRIM yang diterima oleh golongan tersebut pada aku tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos. Diharap juga supaya nanti akan ada instrumen bagaimana mengawal kenaikan kos dan mengelak dari pembaziran wang negara kepada perkara yang berisiko dan tidak menguntungkan.

 

#Update : nampaknya apa option jangkaan aku adalah meleset sama sekali. Budget kali ini adalah budget pilihanraya juga namun menyasarkan golongan M40 yang kemungkinan dari kajian dibilik perang pilihanraya menunjukkan M40 golongan yang kuat menyokong gabungan BN berbanding penjawat awam yang dikatakan lebih dari 70% telah beralih kepada lawan di PRU 13. Bagaimanapun bersyukurlah atas apa yang ada(diberi) kerana kerajaan masih memberi bantuan RM 1500 kepada semua penjawat awam yang diberi sebanyak 2 kali.

 

 

7 Cara dan teknik nak pikat lelaki

7 Cara dan teknik nak pikat lelaki

Cara dan teknik nak pikat lelaki

Haaa..amacam tajuk post ni..ok tak. Ya kali ni aku nak kongsi ngan golongan perempuan sahaja bukan lelaki ye. Tapi kalau orang lelaki nak baca pun boleh apa salahnya.

Cara dan teknik bagaimana nak mengorat lelaki. Ok… dunia sekarang ni berbeza dengan dulu. Zaman sekarang semua orang dah berfikiran terbuka dan boleh menerima sesuatu yang diluar tradisi. Maksudnya perkara yang generasi dulu-dulu taknak lakukan atau malu lakukan tetapi kita sekarang ianya sudah diterima oleh orang ramai. Salah satunya adalah perempuan memikat lelaki. Kalau kesimpulan bahasa ia disebut sebagai perigi mencari timba.. Salahkah perigi mencari timba??? Tak. Takda hukumnya salah atau haram istilah perigi mencari timba ni. Zaman dulu ada tak perigi cari timba? Ya ada, cumanya ia berlaku melalui orang tua. Maknanya orang tua carikan suami untuk anak perempuanya.

Abaikan semua tu sebab kali ni aku nak kongsikan ‘kelemahan’ orang lelaki yang boleh diserang(mengurat). Mesti akan ada yang tanya, hebat sangat ke aku sampai nak bagi tips cara pikat lelaki ni. Eh..mestilah aku hebat sebab aku lelaki yang dah berkali-kali cuba di tackle huahua..so aku taulah tang mana kelemahan lelaki yang boleh di ‘tackle’

Tips dan Cara nak pikat lelaki

Pertama ambil berat. Ya aku terjatuh cinta ngan isteri aku bermula sebab kat u dulu ketika aku tak sihat dan  tak masuk kelas mesti akan sampai mesej dari dia tanya sakit apa. Tanya panadol ada tak. Kalau aku cakap takda, kejap-kejap lagi ada la kawan aku datang hantar panadol dari kiriman dia. Kalau dah 2-3 kali begitu mau tak terasa syahdu.

Kedua mudah dengan senyuman. Ni orang lelaki memang suka yang ni. Kami suka tengok perempuan yang mudah tersenyum manis-manis. Kami tak suka sangat kat perempuan yang berwajah serius walaupun cantik. Kalau kena gaya senyuman dan tepat ke arah kami…huish gugur jantung.

Ketiga follow hobi dia. Ni pun bagus jugak untuk menambat hati kami ni. Mestilah best kalau aku suka main futsal, kemudian si dia pun layan jugak. Tetiba dapat jersi dia kasi siap nama aku lagi kat belakang. Perghh..bangga kat kawan-kawan. Cair hati nih!


Keempat melawat ke rumah. Boleh ke buat macam ni..sampai nak datang rumah mak bapak pulak?? BOLEH..ape tak bolehnye..datang la time Hari Raya reramai ngan member lain. Masa tu tunjukkan lah sikap yang baik kepada sesiapa terutama familinya. Pertuturan yang baik, kelembutan sejati sebagai seorang perempuan, dalam diam-diam ‘tackle’ la mak ngan bapak dia.

Kelima pemakaian yang menarik. Jangan pakai pakaian yang selekeh. Kemudian ton warna tu biarlah sesuai sedap di pandang. Tudung tu biarlah berfesyen sikit walaupun beli kat pasar malam. Yang penting cantik, kemas dan bersih. Makeup jangan lupa. Tampal-tampal lah sikit bedak ke maskara ke lipstik ke atau ape je lah.

Keenam ambil tau tentang masalah dia. Manusia ni mana ada terlepas dari masalah. Semua orang pasti ada masalah. Macam aku dulu, satu ketika stress pasal kena saman polis haha..stress woi nak kena bayar RM150. mana nak cekau duit time-time hujung sem. Datang la isteri aku yang ketika tu awek pun bukan lagi..sekadar kawan je tanya kenapa aku termenung tengok lantai macam bermasalah. Aku termenung tengok lantai pun dia perasan. Akhirnya dia bagi pinjam untuk bayarkan saman tu dengan syarat sem depan bila masuk je ptptn kena bayar balik.

Ketujuh sesekali hulurkanlah hadiah. Aaa..yang ni korang perlu la keluar kos sikit. Bila tiba besday dia, hadiahkan le baju ke, perfume ke, jam tangan ke…alah cari yang memurah je. Kengkadang nilai bukan pada harga sesuatu barang tapi pada keadaan dan situasi semasa.

Kesimpulan kaedah dan cara pikat lelaki

7 tips atau cara nak pikat lelaki yang aku kongsikan di atas hanyalah berdasarkan pengalaman dan pendapat aku sebagai seorang lelaki. Macam manapun kalau korang gadis-gadis minat sesangat pun pada seorang lelaki tolonglah berpada-pada. Sebab kalau duk bercinta ni kut nanti ada pulak benda ketiga duk kat tengah-tengah menghasut.

Siswazah menganggur perkara biasa

Siswazah menganggur perkara biasa

Siswazah menganggur perkara biasa

Banyak kali dah kita dengar samaada di berita tv atau akhbar tentang beribu-ribu siswazah universiti yang menganggur. Malah ada yang menganggur lebih dari 5 tahun. Kalau yang menganggur 2-3 tahun tu lagi lah bersepah. Aku pun pernah menganggur lebih kurang 9 bulan sebelum dapat kerja. Lama juga tuk tu. Emm..apa yang aku baca istilah menganggur adalah seseorang yang langsung tiada pekerjaan atau sedang mencari kerja atau kerja kurang dari 2 kali seminggu. Aku taklah begitu. Ketika tu aku ada kerja tetapi aku anggap diri sebagai seorang penganggur kerana pekerjaan(gaji) aku jauh lebih rendah dari kelulusan aku sebagai seorang siswazah.

siswazah menganggur

Pengalaman aku sebagai siswazah menganggur

Ketika ramai rakan-rakan yang terus posting lepas graduate, aku masih lagi terpinga-pinga menanti surat offer kerja atau panggilan interview. Sorang-sorang member sekelas bergerak ke lokasi bekerja, aku masih dikampung menanti. Disebabkan aku perlu duit dan aku bukan orang senang, maka aku juga bertindak mencari kerja dengan niat ‘kerja sementara’. Macam-macam gak kerja aku buat dalam tempoh 9 bulan. Kerja kampung ambil upah potong dan angkut sawit. Pernah sekejap kerja kilang. Pernah kerja hantar tong gas. Antara 3 pekerjaan yang aku pernah buat ketika mengganggur, kerja hantar tong gas adalah paling lama.

Mula-mula aku hantar gas di Kapar sebelum pindah kat area Puncak Alam. Aku kerja kat Puncak Alam lebih kurang 4-5 bulan. Mesti korang ingat hantar gas naik lorikan? Tak, aku hantar gas naik motor je. Tokey aku dipanggil Abang Din, orang Kelantan bekas tentera yang menetap di Puncak Alam. Aku anggap dia dah macam abang aku sendiri. Banyak membantu aku semasa berkerja dengan dia. Kat area Puncak Alam tu Bang Din ni adalah Sub dealer untuk gas Petronas. So dia ada 2 orang pekerja dan salah seorangnya adalah aku.

Kerja hantar tong gas

Kerja ni aku dibayar upah mengikut berapa banyak tong gas yang aku hantar. Sehari dapatlah antara30-40 tong. Upah juga adalah berbeza mengikut tempat bukan jarak. Kat puncak Alam tu di bahagikan kepada 3 kategori. Teres, flat tingkat 1 atau 2 dan flat tingkat 3 atau 4. Untuk hantar kerumah teres aku cuma dibayar RM 1 setiap tong gas. Kalau rumah flat tingkat 1 atau 2 aku akan di bayar RM 1.50. Manakala rumah flat tingkat 3 atau 4 aku akan dapat RM 2 setiap tong. So sehari boleh la dapat antara RM40 – RM80.

Tempoh kerja pulak memang lama..dari pukul 6.30 pagi sampailah 12 malam. Dalam tempoh tu kena standby sambil-sambil tengok tv. Ada call mintak hantar start motor terus pegi hantar. Letih memang letih. Hantar kat rumah teres atau tingkat 1 rumah flat takde hal lagi. Tapi bila ada order hantar kat tingkat 2,3 dan 4 memang stress. Lebih letih bila ada rumah yang order 3 tong sekali. Maknanya aku kena hantar tingkat 4, 3 biji tong gas dan bawa turun 3 tong gas kosong. Letih tak tercakap, masa awal-awal kerja terutama minggu pertama, sampai muntah-muntah tepi jalan. Kerja 7 hari seminggu, Sabtu dan Ahad tak cuti.

Bila masuk minggu ketiga mungkin tubuh badan aku dah serasi dengan kerja tu termasuk dah faham teknik angkat yang betul so kalau setakat 3 biji tong gas hantar tingkat 4 tu rilek je. Itulah kerja aku berterusan hampir 5 bulan. Dalam masa bekerja tu banyak resume kerja aku hantar. Bermacam temuduga aku pergi. Berkat kesabaran menunggu, akhirnya dapat gak panggilan akhir tahun 2006.

siswazah menganggur

Semasa di era sebagai siswazah menganggur

Era ketika aku diiktiraf sebagai siswazah menganggur adalah antara waktu yang getir dalam hidup. Ketika itu aku menjadi bahan komen dan kritikan saudara-mara dan jiran tetangga. ‘itule ropenye..penat2 belajor tinggi2 tak kemane juge’ elok lagi sipolan bin sipolan tu belajor spm je tengok dah kawin  dah ada kereta’ Stress wei… Mujurlah mak aku, awek aku(isteri) banyak membantu dari aspek kewangan mahupun psikologi. Kalau tak mau aku baling ngan kasut getah je kat muka orang yang mengutuk tu.

Nasihat aku pada penganggur sekalian,

  1. jangan putus asa, terus berusaha cari kerja. hantar lah sebanyak manapun resume. Umpama beratus kali kita baling joran, mungkin sekali sekala kena.
  2. jangan memilih kerja. jangan nak kerja yang kena ngan course je. grab je ape2 kerja sekalipun. kemudian belajarlah tentang kerja tu.
  3. jangan dapatkan kerja atas budaya rekemen..dapatkan kerja dengan kemampuan dan kebolehan diri. jangan rampas hak orang lain. Tak berkat.
  4. dan sentiasa lah berdoa agar diberi rezeki halal. tak kisah la kerja apapun. nanti Allah akan bagi berlipat kaliganda lebih bagus dari apa yang kau mintak.

Sekian terima kasih

Sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab

Sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab

Satu ketika dulu aku ada post satu artikel tentang perjanjian sewa rumah. Dalam post tu juga aku ada selitkan tentang rumah aku yang berjaya disewakan. Kalau tak baca lagi boleh baca di sini. Untuk pengetahuan korang aku dan isteri ada 2 unit rumah dan kedua-duanya di sewakan. Unit rumah aku fully furnish manakala unit rumah isteri partially furnish. Walaupun rumah aku cuma satu bilik tetapi ia berjaya disewakan pada kadar harga RM 700 sebulan manakala 3 bilikrumah isteri aku cuma dapat disewakan RM 800 sebulan sahaja.

Sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab

Kali ni apa yang nak aku ceritakan adalah berkaitan dengan tajuk iatu sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab. Selepas setahun setengah, penyewa maklumkan yang beliau akan dipindahkan ke tempat lain dan tidak dapat meneruskan sewaan. Tidak jadi masalah untuk aku sebab dikawasan rumah aku tu memang demand rumah sewa tinggi terutama jika fully furnish. Baru sehari je letak iklan kat mudah aku dah dapat penyewa baru.

Lepas je aku terima kunci dari bekas penyewa aku terus masuk untuk bersihkan rumah sebab penyewa baru akan masuk. Di situlah bermulanya kekecewaan bila lihat keadaan rumah huru hara dan perkakasan dalam rumah ada yang rosak dan tak cukup sifat. 1 tahun 7 bulan satu masa yang singkat kalau kita di rumah pun dalam tempoh tu perabot dan peralatan elektrik semua dalam keadaan yang baik. Tapi tidak apabila kita dapat penyewa yang tidak bertanggungjawab. Mesin basuh kemik sana sini. Peti ais bahagian pintu atas bekas berlubang-lubang seperti diketuk dengan benda tajam. TV full hd aku kesan kemik di 2 tempat pada bingkai tv. Tapak kaki tv juga patah seperti terjatuh dari kabinet.

Penyewa juga dipesan sebarang kerosakan dalam rumah mestilah bagitau kepada aku dengan cepat sebab selagi dalam tempoh warranty sebarang pembaikan adalah percuma. Malangnya disebabkan tidak ada rasa tanggungjawab, ia dibiarkan sahaja rosak tanpa sebarang makluman.

sikap penyewa
bahagian yang terkopek di pintu bilik air

Sikap penyewa yang tidak ada perasaan malu

Bahagian dapur kabinet yang aku pasang, dibahagian atasnya melekat dengan kesan minyak yang tak boleh ditanggalkan. Jenuh aku menenyeh menyabun dan bermacam cara lagi. Macam langsung tak pernah dilap berbulan-bulan. Itu belum lagi lantai yang mengalami kerosakan. Yang membuat aku paling ‘terkesima’ apabila melihat dinding rumah. Habis melekat-lekat pita hitam dan berlubang-lubang bekas paku. Padahal aku dah pesan dan memang ada pun dalam perjanjian sewaan tidak boleh memaku di dinding rumah. Bukan sahaja dinding rumah malah pintu bilik air dan bilik juga berlubang dengan bekas paku.

sikap penyewa tidak bertanggungjawab
kesan pita hitam dan paku yang banyak. terpaksa cover pakai wallpaper

Bertambah sakit hati boleh pula minta full deposit semula dengan alasan nak bayar deposit sewa rumah baru. Jika keadaan rumah dah begitu maka jangkaan utility bil pasti ada masalah dan memang betul sangkaan aku apabila bil elektrik tertunggak selama 2 bulan dan kini aku menunggu bil terbaru pula. Begitu juga bil air yang tertunggak selama 3 bulan.

Claim deposit untuk sebarang kerosakan

Oleh sebab itu aku telah claim deposit 2 bulan + 200 utility untuk sebarang kerosakan dan bil tertunggak. Semua kos aku tolak beli cat, wallpaper, penutup lampu dan beberapa barangan lain. Aku cuma pulangkan beberapa ratus sahaja. Nak marah tak marah dah itu pun kos yang perlu aku cover. Beliau adalah sangat beruntung kerana dapat rumah tu ketika semua perabot dan barangan elektriknya baru dibeli. Sepatutnya dijaga dengan baik. Rumah aku tu kabinet selain kabinet dapur telah dipasang kerana termasuk bersama pakej rumah. Semuanya built in termasuklah wardrobe. Sebarang kerosakan menyebabkan aku terpaksa memanggil syarikat yang memasang perabot rumah tu semula untuk pembaikan dengan kos yang lebih tinggi.

Tindakan terbaru untuk mengelakkan mengalami situasi yang sama

Penyewa baru telah pun menerima kunci dan tandatangan perjanjian penyewaan yang baru kelmarin. Aku telah menambah beberapa term yang ‘keras’ dalam perjanjian lebih banyak dari perjanjian dengan penyewa sebelum ini. Antaranya ialah

  1. sebarang kerosakan peralatan elektrik dan jika tidak dibaiki maka deposit akan digunakan untuk menggantikan barangan yang rosak dengan yang baru.
  2. maksimum penghuni hanya 2 orang sahaja.
  3. RM 500 akan di charge dari deposit rumah jika penyewa memaku/kesan paku pada dinding atau mana-mana bahagian dalam rumah.

Dan perubahan pada deposit ialah 3+1+RM300. Sebelum ini 2+1+RM200. Alhamdulillah penyewa baru ni bersetuju dengan syarat-syarat yang terdapat dalam perjanjian tersebut. So Hari isnin ni aku akan ke LHDN untuk matikan setem sewaan tersebut.

sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab
Selepas seharian mencuci, mengecat dan mengemop bahagian dry kitchen

Kesimpulan untuk Tuan rumah sewa

Nasihat aku kepada tuan-tuan rumah yang nak sewakan rumah, pertama kita mesti ada satu dokumen yang sah untuk menguatkan sebarang tuntutan terhadap sebarang masalah kemudian hari. Yang aku maksudkan adalah Dokumen Perjanjian Sewaan rumah. Term-term yang terdapat dalam perjanjian mestilah jelas dan tidak merugikan kita sebagai owner. Antara kesilapan aku ialah hanya meletakkan perkataan larangan terhadap paku dinding rumah. Aku tak boleh nak charge besar untuk beli cat dan simen. Dan lagi stress ialah aku tak cukup masa nak mengecat menyimen(malas pun ada jugak). So perubahan yang aku buat ialah terus charge RM 500 jika larangan pemakuan dinding dilanggar oleh penyewa. Alhamdulillah penyewa baru ni bersetuju, mungkin sebab mereka ni perempuan dan tak suka kot memaku-maku dinding.

Syarat yang banyak bukanlah bertujuan untuk mengambil kesempatan ke atas penyewa atau mengongkong penyewa. Sebaliknya ia bertujuan untuk mencegah kerugian terhadap tuan rumah yang telah mengeluarkan kos yang besar untuk memberi keselesaan kepada penyewa. Rumah sewa juga adalah satu bisnes. Mana-mana bisnes pun konsepnya adalah mengelakkan dari mengalami sebarang kerugian dan mendapat keuntungan. So bagi aku ianya adalah win-win situation samaada kepada penyewa mahupun tuan rumah.

>