Author: olaolico

Ciri-ciri suami yang bertanggungjawab

Ciri-ciri suami yang bertanggungjawab

Ketahui ciri-ciri seorang suami yang bertanggungjawab

Setiap kaum hawa mengimpikan untuk dapat seorang suami yang bertanggungjawab dan penyayang. Begitu juga lelaki yang mahukan seorang bakal isteri yang setia dan solehah. Tetapi jika dilihat di mana-mana media massa, terlalu banyak kes-kes perceraian disebabkan kelemahan-kelemahan yang ada pada pasangan masing-masing. Tidak dapat disalahkan kepada sesiapa jika berlaku kes perceraian kerana masing-masing ada silapnya sendiri. Takdir Allah menentukan segala apa yang akan terjadi, namun sebagai hamba-Nya kita perlu berikhtiar melakukan sesuatu yang terbaik.

Di sini saya kongsikan beberapa ciri seorang suami yang bertanggungjawab. Bukan sahaja sebagai suami malah bapa kepada anak-anak.

Sentiasa menerapkan nilai Islam dalam kehidupan keluarga

Seorang suami yang terbaik adalah suami yang mendahulukan agama dalam kehidupanya. Sentiasa mengambil berat tentang amal ibadah ahli keluarganya. Menjaga aurat anak isteri dan memberi ilmu agama kepada semua yang berada di bawah tanggungjawabnya. Menekankan soal solat, puasa dan lain-lain ibadah yang telah diwajibkan oleh Allah S.W.T. Membimbing secara berterusan anak dan isteri dari pelbagai aspek. Tidak akan membiarkan ahli keluarganya berterusan atau berulangkali melakukan kesilapan dan kesalahan.

Bersikap bijak dan tegas

Suami yang bertanggungjawab perlu bijak ketika membuat keputusan. Beliau mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan untuk ahli keluarganya. Seorang suami atau bapa yang baik, tidak menjadikan nasihat dari anak atau isteri penentu kepada keputusan yang dibuat, sebaliknya ia sebagai pandangan untuk menentukan apakah yang terbaik perlu beliau lakukan.

Matang

Bersikap selayaknya sebagai seorang suami atau bapa. Menjadi sukar untuk isteri yang sentiasa memerlukan bantuan dan nasihat dari suami. Secara tidak langsung si isteri terpaksa menanggung tanggungjawab yang lebih.

Suami yang rajin

Suami perlu rajin dalam pelbagai perkara. Ada suami yang tidak mengambil berat untuk membantu isteri menjaga anak. Suami hanya duduk dan baring di sofa manakala si isteri terpaksa bersusah payah menjaga terutama jika ramai anak dan masih kecil. Selain itu ada juga sebahagian suami yang sangat malas untuk membantu membuat kerja-kerja rumah, malahan nak menyapu pun ada yang sangat berkira.

Memasak pada adatnya bukanlah kerja yang dilakukan oleh suami seperti dalam budaya kita orang melayu. Namun sebagai umat Islam kita harus sedar, menyediakan makanan untuk anak dan isteri adalah tugas yang diletakkan di bahu suami. Jika si isteri sanggup berkorban memasak, maka sangatlah murni jika suami pun ke dapur bersama-sama menyediakan makanan untuk keluarga.

Taat kepada ibu bapanya

Sangatlah rugi jika seorang isteri mendapat seorang suami yang tidak taat kepada ibu bapanya. Seorang anak yang tidak taat dan berdosa kepada ibu bapa, hidupnya sentiasa tidak tenang dan berada dalam kesempitan. Si isteri akan menanggung kesusahan bersama akibat dari sikap suaminya. Jika anda melihat suami tidak begitu menghormati dan mentaati ibu bapanya sentiasalah nasihat untuk mengubah sikap yang sangat dibenci oleh Allah S.W.T.  Menderhaka kepada ibu bapa tiada tempat untuknya di syurga malahan ketika hidup pun akan berterusan mengalami kesusahan.

Kesimpulan

Seorang suami sentiasal perlu beringat, anda adalah ketua keluarga yang diberi tanggungjawab untuk menjaga dan membimbing anak dan isteri. Sikap yang negetif dalam diri anda akan menyebabkan kesusahan kepada keluarga. Isteri pula adalah pembantu suami dalam segala hal kehidupan. Bantulah suami berubah jika dia perlu berubah. Elakkan dari membuat keputusan yang salah walaupun jika berada dalam keadaan yang genting. Insyaallah jika masing-masing tahu tanggungjawab, kita akan hidup bahagia hingga ke akhir hayat.

 

7 Cara dan teknik nak pikat lelaki

7 Cara dan teknik nak pikat lelaki

Cara dan teknik nak pikat lelaki

Haaa..amacam tajuk post ni..ok tak. Ya kali ni aku nak kongsi ngan golongan perempuan sahaja bukan lelaki ye. Tapi kalau orang lelaki nak baca pun boleh apa salahnya.

Cara dan teknik bagaimana nak mengorat lelaki. Ok… dunia sekarang ni berbeza dengan dulu. Zaman sekarang semua orang dah berfikiran terbuka dan boleh menerima sesuatu yang diluar tradisi. Maksudnya perkara yang generasi dulu-dulu taknak lakukan atau malu lakukan tetapi kita sekarang ianya sudah diterima oleh orang ramai. Salah satunya adalah perempuan memikat lelaki. Kalau kesimpulan bahasa ia disebut sebagai perigi mencari timba.. Salahkah perigi mencari timba??? Tak. Takda hukumnya salah atau haram istilah perigi mencari timba ni. Zaman dulu ada tak perigi cari timba? Ya ada, cumanya ia berlaku melalui orang tua. Maknanya orang tua carikan suami untuk anak perempuanya.

Abaikan semua tu sebab kali ni aku nak kongsikan ‘kelemahan’ orang lelaki yang boleh diserang(mengurat). Mesti akan ada yang tanya, hebat sangat ke aku sampai nak bagi tips cara pikat lelaki ni. Eh..mestilah aku hebat sebab aku lelaki yang dah berkali-kali cuba di tackle huahua..so aku taulah tang mana kelemahan lelaki yang boleh di ‘tackle’

Tips dan Cara nak pikat lelaki

Pertama ambil berat. Ya aku terjatuh cinta ngan isteri aku bermula sebab kat u dulu ketika aku tak sihat dan  tak masuk kelas mesti akan sampai mesej dari dia tanya sakit apa. Tanya panadol ada tak. Kalau aku cakap takda, kejap-kejap lagi ada la kawan aku datang hantar panadol dari kiriman dia. Kalau dah 2-3 kali begitu mau tak terasa syahdu.

Kedua mudah dengan senyuman. Ni orang lelaki memang suka yang ni. Kami suka tengok perempuan yang mudah tersenyum manis-manis. Kami tak suka sangat kat perempuan yang berwajah serius walaupun cantik. Kalau kena gaya senyuman dan tepat ke arah kami…huish gugur jantung.

Ketiga follow hobi dia. Ni pun bagus jugak untuk menambat hati kami ni. Mestilah best kalau aku suka main futsal, kemudian si dia pun layan jugak. Tetiba dapat jersi dia kasi siap nama aku lagi kat belakang. Perghh..bangga kat kawan-kawan. Cair hati nih!


Keempat melawat ke rumah. Boleh ke buat macam ni..sampai nak datang rumah mak bapak pulak?? BOLEH..ape tak bolehnye..datang la time Hari Raya reramai ngan member lain. Masa tu tunjukkan lah sikap yang baik kepada sesiapa terutama familinya. Pertuturan yang baik, kelembutan sejati sebagai seorang perempuan, dalam diam-diam ‘tackle’ la mak ngan bapak dia.

Kelima pemakaian yang menarik. Jangan pakai pakaian yang selekeh. Kemudian ton warna tu biarlah sesuai sedap di pandang. Tudung tu biarlah berfesyen sikit walaupun beli kat pasar malam. Yang penting cantik, kemas dan bersih. Makeup jangan lupa. Tampal-tampal lah sikit bedak ke maskara ke lipstik ke atau ape je lah.

Keenam ambil tau tentang masalah dia. Manusia ni mana ada terlepas dari masalah. Semua orang pasti ada masalah. Macam aku dulu, satu ketika stress pasal kena saman polis haha..stress woi nak kena bayar RM150. mana nak cekau duit time-time hujung sem. Datang la isteri aku yang ketika tu awek pun bukan lagi..sekadar kawan je tanya kenapa aku termenung tengok lantai macam bermasalah. Aku termenung tengok lantai pun dia perasan. Akhirnya dia bagi pinjam untuk bayarkan saman tu dengan syarat sem depan bila masuk je ptptn kena bayar balik.

Ketujuh sesekali hulurkanlah hadiah. Aaa..yang ni korang perlu la keluar kos sikit. Bila tiba besday dia, hadiahkan le baju ke, perfume ke, jam tangan ke…alah cari yang memurah je. Kengkadang nilai bukan pada harga sesuatu barang tapi pada keadaan dan situasi semasa.

Kesimpulan kaedah dan cara pikat lelaki

7 tips atau cara nak pikat lelaki yang aku kongsikan di atas hanyalah berdasarkan pengalaman dan pendapat aku sebagai seorang lelaki. Macam manapun kalau korang gadis-gadis minat sesangat pun pada seorang lelaki tolonglah berpada-pada. Sebab kalau duk bercinta ni kut nanti ada pulak benda ketiga duk kat tengah-tengah menghasut.

Ketahui post paling popular di blog anda dengan Google Analytic

Ketahui post paling popular di blog anda dengan Google Analytic

Post paling popular dengan Google analytic

 

Khas untuk blogger yang masih newbie, post ni aku nak share cara bagaimana nak tahu yang manakah post di blog korang yang paling popular. Apa maksud paling popular? Maknanya post yang paling banyak dapat pageview atau pelawat yang membaca.

 

Sebelum tu aku nak jelaskan kepentingan atau kelebihan jika seorang blogger mengetahui post terbaik yang pernah beliau hasilkan.

 

Pertama bagus dijadikan idea untuk menghasilkan post baru yang mempunyai niche sama atau perkara yang sama. Misalnya post paling banyak page view di blog olaoli.com ini adalah Perjanjian Sewa Rumah. Jadi aku hasilkan artikel lain yang boleh related dengan post tersebut seperti artikel Sikap Penyewa Yang Tidak Bertanggungjawab. Kemudian buat link dari post popular tersebut pergi ke artikel baru tu. So boleh kurangkan sikit bounce rate.

 

Kedua apabila kita ketahui artikel yang ramai pengunjung, boleh jadikan ia tempat untuk collect email subsriber. Untuk yang ini memang dah ada dalam perancangan aku, namun masih belum buat sebab tak bersedia untuk menanggung kos memandangkan blog ni belum mempunyai pendapatan yang stabil.

 

Ketiga adalah monitize post tersebut. Antara yang biasa mana-mana blogger buat adalah letak link atau banner affiliate. Pastikan jugak produk affiliate itu ada berkaitan dengan post tersebut. Kemudian yang ada akaun google adsense boleh letakkan adsense korang kat dalam post tu. Tapi aku sendiri pun takda akaun adsense, sampai sekarang tak approve(sedih tui).

 

Langkah-langkah menggunakan Google Analytic untuk lihat post terbaik

 

Mula-mula dah semestinya korang perlu login masuk ke google analytic menggunakan akaun gmail yang korang dah daftar.

post popular dengan google analytic

Kemudian pilih date range data yang korang nak tahu. Pilihan tempoh tu ikut sukahati koranglah nak berapa hari. Ada orang yang guna data sebulan, ada yang seminggu dan ada yang cuma mahu data sehari je. Sebagai contoh kat atas data sehari pada 15.8.2017.

post popular dengan google analytic

Lepas tu pergi ke bahagian kiri dan pilih Behavior.

post popular dengan google analytic

Pilih site content dan pilih all pages.

post popular dengan google analytic

Akhir sekali korang akan nampak ruangan di sebelah kananya. Kat situ korang boleh lihat jumlah pageview tertinggi mengikut ranking.

post popular dengan google analytic

Berdasarkan data di google analytic tu, pageview di blog olaoli.com pada 15/8/2017 adalah 166 dan paling banyak dari post tentang Pengalaman Batuk Teruk. Untuk pengetahuan anda juga, kita boleh gunakan plugin google analytic dan ianya lebih mudah sebab tak perlu nak login google analytic lagi. Korang boleh pantau di dashboard blog je. Harap post ini dapat membantu sesiapa yang mungkin masih tak tau lagi cara nak check post paling popular di blog.

Siswazah menganggur perkara biasa

Siswazah menganggur perkara biasa

Siswazah menganggur perkara biasa

Banyak kali dah kita dengar samaada di berita tv atau akhbar tentang beribu-ribu siswazah universiti yang menganggur. Malah ada yang menganggur lebih dari 5 tahun. Kalau yang menganggur 2-3 tahun tu lagi lah bersepah. Aku pun pernah menganggur lebih kurang 9 bulan sebelum dapat kerja. Lama juga tuk tu. Emm..apa yang aku baca istilah menganggur adalah seseorang yang langsung tiada pekerjaan atau sedang mencari kerja atau kerja kurang dari 2 kali seminggu. Aku taklah begitu. Ketika tu aku ada kerja tetapi aku anggap diri sebagai seorang penganggur kerana pekerjaan(gaji) aku jauh lebih rendah dari kelulusan aku sebagai seorang siswazah.

siswazah menganggur

Pengalaman aku sebagai siswazah menganggur

Ketika ramai rakan-rakan yang terus posting lepas graduate, aku masih lagi terpinga-pinga menanti surat offer kerja atau panggilan interview. Sorang-sorang member sekelas bergerak ke lokasi bekerja, aku masih dikampung menanti. Disebabkan aku perlu duit dan aku bukan orang senang, maka aku juga bertindak mencari kerja dengan niat ‘kerja sementara’. Macam-macam gak kerja aku buat dalam tempoh 9 bulan. Kerja kampung ambil upah potong dan angkut sawit. Pernah sekejap kerja kilang. Pernah kerja hantar tong gas. Antara 3 pekerjaan yang aku pernah buat ketika mengganggur, kerja hantar tong gas adalah paling lama.

Mula-mula aku hantar gas di Kapar sebelum pindah kat area Puncak Alam. Aku kerja kat Puncak Alam lebih kurang 4-5 bulan. Mesti korang ingat hantar gas naik lorikan? Tak, aku hantar gas naik motor je. Tokey aku dipanggil Abang Din, orang Kelantan bekas tentera yang menetap di Puncak Alam. Aku anggap dia dah macam abang aku sendiri. Banyak membantu aku semasa berkerja dengan dia. Kat area Puncak Alam tu Bang Din ni adalah Sub dealer untuk gas Petronas. So dia ada 2 orang pekerja dan salah seorangnya adalah aku.

Kerja hantar tong gas

Kerja ni aku dibayar upah mengikut berapa banyak tong gas yang aku hantar. Sehari dapatlah antara30-40 tong. Upah juga adalah berbeza mengikut tempat bukan jarak. Kat puncak Alam tu di bahagikan kepada 3 kategori. Teres, flat tingkat 1 atau 2 dan flat tingkat 3 atau 4. Untuk hantar kerumah teres aku cuma dibayar RM 1 setiap tong gas. Kalau rumah flat tingkat 1 atau 2 aku akan di bayar RM 1.50. Manakala rumah flat tingkat 3 atau 4 aku akan dapat RM 2 setiap tong. So sehari boleh la dapat antara RM40 – RM80.

Tempoh kerja pulak memang lama..dari pukul 6.30 pagi sampailah 12 malam. Dalam tempoh tu kena standby sambil-sambil tengok tv. Ada call mintak hantar start motor terus pegi hantar. Letih memang letih. Hantar kat rumah teres atau tingkat 1 rumah flat takde hal lagi. Tapi bila ada order hantar kat tingkat 2,3 dan 4 memang stress. Lebih letih bila ada rumah yang order 3 tong sekali. Maknanya aku kena hantar tingkat 4, 3 biji tong gas dan bawa turun 3 tong gas kosong. Letih tak tercakap, masa awal-awal kerja terutama minggu pertama, sampai muntah-muntah tepi jalan. Kerja 7 hari seminggu, Sabtu dan Ahad tak cuti.

Bila masuk minggu ketiga mungkin tubuh badan aku dah serasi dengan kerja tu termasuk dah faham teknik angkat yang betul so kalau setakat 3 biji tong gas hantar tingkat 4 tu rilek je. Itulah kerja aku berterusan hampir 5 bulan. Dalam masa bekerja tu banyak resume kerja aku hantar. Bermacam temuduga aku pergi. Berkat kesabaran menunggu, akhirnya dapat gak panggilan akhir tahun 2006.

siswazah menganggur

Semasa di era sebagai siswazah menganggur

Era ketika aku diiktiraf sebagai siswazah menganggur adalah antara waktu yang getir dalam hidup. Ketika itu aku menjadi bahan komen dan kritikan saudara-mara dan jiran tetangga. ‘itule ropenye..penat2 belajor tinggi2 tak kemane juge’ elok lagi sipolan bin sipolan tu belajor spm je tengok dah kawin  dah ada kereta’ Stress wei… Mujurlah mak aku, awek aku(isteri) banyak membantu dari aspek kewangan mahupun psikologi. Kalau tak mau aku baling ngan kasut getah je kat muka orang yang mengutuk tu.

Nasihat aku pada penganggur sekalian,

  1. jangan putus asa, terus berusaha cari kerja. hantar lah sebanyak manapun resume. Umpama beratus kali kita baling joran, mungkin sekali sekala kena.
  2. jangan memilih kerja. jangan nak kerja yang kena ngan course je. grab je ape2 kerja sekalipun. kemudian belajarlah tentang kerja tu.
  3. jangan dapatkan kerja atas budaya rekemen..dapatkan kerja dengan kemampuan dan kebolehan diri. jangan rampas hak orang lain. Tak berkat.
  4. dan sentiasa lah berdoa agar diberi rezeki halal. tak kisah la kerja apapun. nanti Allah akan bagi berlipat kaliganda lebih bagus dari apa yang kau mintak.

Sekian terima kasih

Sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab

Sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab

Satu ketika dulu aku ada post satu artikel tentang perjanjian sewa rumah. Dalam post tu juga aku ada selitkan tentang rumah aku yang berjaya disewakan. Kalau tak baca lagi boleh baca di sini. Untuk pengetahuan korang aku dan isteri ada 2 unit rumah dan kedua-duanya di sewakan. Unit rumah aku fully furnish manakala unit rumah isteri partially furnish. Walaupun rumah aku cuma satu bilik tetapi ia berjaya disewakan pada kadar harga RM 700 sebulan manakala 3 bilikrumah isteri aku cuma dapat disewakan RM 800 sebulan sahaja.

Sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab

Kali ni apa yang nak aku ceritakan adalah berkaitan dengan tajuk iatu sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab. Selepas setahun setengah, penyewa maklumkan yang beliau akan dipindahkan ke tempat lain dan tidak dapat meneruskan sewaan. Tidak jadi masalah untuk aku sebab dikawasan rumah aku tu memang demand rumah sewa tinggi terutama jika fully furnish. Baru sehari je letak iklan kat mudah aku dah dapat penyewa baru.

Lepas je aku terima kunci dari bekas penyewa aku terus masuk untuk bersihkan rumah sebab penyewa baru akan masuk. Di situlah bermulanya kekecewaan bila lihat keadaan rumah huru hara dan perkakasan dalam rumah ada yang rosak dan tak cukup sifat. 1 tahun 7 bulan satu masa yang singkat kalau kita di rumah pun dalam tempoh tu perabot dan peralatan elektrik semua dalam keadaan yang baik. Tapi tidak apabila kita dapat penyewa yang tidak bertanggungjawab. Mesin basuh kemik sana sini. Peti ais bahagian pintu atas bekas berlubang-lubang seperti diketuk dengan benda tajam. TV full hd aku kesan kemik di 2 tempat pada bingkai tv. Tapak kaki tv juga patah seperti terjatuh dari kabinet.

Penyewa juga dipesan sebarang kerosakan dalam rumah mestilah bagitau kepada aku dengan cepat sebab selagi dalam tempoh warranty sebarang pembaikan adalah percuma. Malangnya disebabkan tidak ada rasa tanggungjawab, ia dibiarkan sahaja rosak tanpa sebarang makluman.

sikap penyewa
bahagian yang terkopek di pintu bilik air

Sikap penyewa yang tidak ada perasaan malu

Bahagian dapur kabinet yang aku pasang, dibahagian atasnya melekat dengan kesan minyak yang tak boleh ditanggalkan. Jenuh aku menenyeh menyabun dan bermacam cara lagi. Macam langsung tak pernah dilap berbulan-bulan. Itu belum lagi lantai yang mengalami kerosakan. Yang membuat aku paling ‘terkesima’ apabila melihat dinding rumah. Habis melekat-lekat pita hitam dan berlubang-lubang bekas paku. Padahal aku dah pesan dan memang ada pun dalam perjanjian sewaan tidak boleh memaku di dinding rumah. Bukan sahaja dinding rumah malah pintu bilik air dan bilik juga berlubang dengan bekas paku.

sikap penyewa tidak bertanggungjawab
kesan pita hitam dan paku yang banyak. terpaksa cover pakai wallpaper

Bertambah sakit hati boleh pula minta full deposit semula dengan alasan nak bayar deposit sewa rumah baru. Jika keadaan rumah dah begitu maka jangkaan utility bil pasti ada masalah dan memang betul sangkaan aku apabila bil elektrik tertunggak selama 2 bulan dan kini aku menunggu bil terbaru pula. Begitu juga bil air yang tertunggak selama 3 bulan.

Claim deposit untuk sebarang kerosakan

Oleh sebab itu aku telah claim deposit 2 bulan + 200 utility untuk sebarang kerosakan dan bil tertunggak. Semua kos aku tolak beli cat, wallpaper, penutup lampu dan beberapa barangan lain. Aku cuma pulangkan beberapa ratus sahaja. Nak marah tak marah dah itu pun kos yang perlu aku cover. Beliau adalah sangat beruntung kerana dapat rumah tu ketika semua perabot dan barangan elektriknya baru dibeli. Sepatutnya dijaga dengan baik. Rumah aku tu kabinet selain kabinet dapur telah dipasang kerana termasuk bersama pakej rumah. Semuanya built in termasuklah wardrobe. Sebarang kerosakan menyebabkan aku terpaksa memanggil syarikat yang memasang perabot rumah tu semula untuk pembaikan dengan kos yang lebih tinggi.

Tindakan terbaru untuk mengelakkan mengalami situasi yang sama

Penyewa baru telah pun menerima kunci dan tandatangan perjanjian penyewaan yang baru kelmarin. Aku telah menambah beberapa term yang ‘keras’ dalam perjanjian lebih banyak dari perjanjian dengan penyewa sebelum ini. Antaranya ialah

  1. sebarang kerosakan peralatan elektrik dan jika tidak dibaiki maka deposit akan digunakan untuk menggantikan barangan yang rosak dengan yang baru.
  2. maksimum penghuni hanya 2 orang sahaja.
  3. RM 500 akan di charge dari deposit rumah jika penyewa memaku/kesan paku pada dinding atau mana-mana bahagian dalam rumah.

Dan perubahan pada deposit ialah 3+1+RM300. Sebelum ini 2+1+RM200. Alhamdulillah penyewa baru ni bersetuju dengan syarat-syarat yang terdapat dalam perjanjian tersebut. So Hari isnin ni aku akan ke LHDN untuk matikan setem sewaan tersebut.

sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab
Selepas seharian mencuci, mengecat dan mengemop bahagian dry kitchen

Kesimpulan untuk Tuan rumah sewa

Nasihat aku kepada tuan-tuan rumah yang nak sewakan rumah, pertama kita mesti ada satu dokumen yang sah untuk menguatkan sebarang tuntutan terhadap sebarang masalah kemudian hari. Yang aku maksudkan adalah Dokumen Perjanjian Sewaan rumah. Term-term yang terdapat dalam perjanjian mestilah jelas dan tidak merugikan kita sebagai owner. Antara kesilapan aku ialah hanya meletakkan perkataan larangan terhadap paku dinding rumah. Aku tak boleh nak charge besar untuk beli cat dan simen. Dan lagi stress ialah aku tak cukup masa nak mengecat menyimen(malas pun ada jugak). So perubahan yang aku buat ialah terus charge RM 500 jika larangan pemakuan dinding dilanggar oleh penyewa. Alhamdulillah penyewa baru ni bersetuju, mungkin sebab mereka ni perempuan dan tak suka kot memaku-maku dinding.

Syarat yang banyak bukanlah bertujuan untuk mengambil kesempatan ke atas penyewa atau mengongkong penyewa. Sebaliknya ia bertujuan untuk mencegah kerugian terhadap tuan rumah yang telah mengeluarkan kos yang besar untuk memberi keselesaan kepada penyewa. Rumah sewa juga adalah satu bisnes. Mana-mana bisnes pun konsepnya adalah mengelakkan dari mengalami sebarang kerugian dan mendapat keuntungan. So bagi aku ianya adalah win-win situation samaada kepada penyewa mahupun tuan rumah.

>